Isnin, 1 Jun 2015

Pengalaman ke Rawatan Alternatif

Tempoh hari ada Program Karnival Cinta Masjid yang dianjurkan selama seminggu oleh Pusat Hal Ehwal Islam & Masjid UMS. Bermacam-macam aktiviti diadakan seperti belajar Iqra, derma darah, pembukaan booth daftar Haji (Tabung Haji), pembayaran fidyah dan lain-lain.

Kebetulan hari tu juga ada terapi Ruqyah khas untuk pengunjung yang mempunyai masalah... tak kira masalah penyakit fizikal ataupun gangguan makhluk halus (dan sewaktu dengannya). Saya pun pergi bersama dua orang lagi rakan sekerja saya. Saja nak cuba. Kot ada 'benda' dalam badan tanpa disedari. Kawan saya yang sorang ni pula ada sakit gastrik. In Shaa Allah dengan terapi ni, sakit boleh dikurangkan sedikit.

Ustaz yang menjalankan terapi adalah Ustaz Eri Abdul Rohim. Pagi tu ustaz tak available. Jadi kami bertiga dirawat oleh anak murid ustaz. Plastik dan tisu disediakan khas kepada sesiapa yang rasa nak muntah atau menangis. Namun setakat tu tak ada apa-apa yang berlaku.

Saudara yang merawat kami juga memberi sedikit tazkirah. Katanya sebagai manusia, penglihatan kita terbatas dari melihat makhluk ghaib kecuali jika mereka menampakkan diri mereka. Walaubagaimanapun, sebilangan manusia ada yang dikurniakan sixth sense. Ada juga yang mempelajari ilmu sehingga boleh melihat benda-benda tersebut. Katanya lagi, sifat hasad dengki dan dendam boleh menyebabkan hijab terbuka dan senang untuk syaitan dan jin memperlihatkan diri. Hapuskanlah sifat-sifat tercela itu agar hati sentiasa lapang.

Dekat kami nak minta diri, syukur alhamdulillah Ustaz pun datang. Muda lagi ustaz ni. Nampak tenang tetapi tegas. Maka kami pusing balik untuk rawatan sesi kedua. Tapi kali ni saya tak ikut. Temankan rakan sahaja. Tak lama selepas itu, datang seorang wanita. Sebelum mulakan bacaan ayat suci Al-Quran, ustaz kata mata mesti dipejamkan. Jangan ikut bacaan yang dibaca, sebaiknya diam seperti biasa.

Semasa ustaz membaca ayat Ruqyah, wanita tersebut start muntah. Selepas tu datang lagi orang lain... dan lagi... dan lagi. Tak silap saya dalam bilik tu ada 10 orang semuanya. Dua orang anak murid ustaz juga membantu ustaz dalam sesi terapi Ruqyah ini.

Disebabkan semua orang tutup mata ketika itu, yang hanya buka mata adalah saya, ustaz dan dua anak muridnya. Yang makcik di hadapan saya tu dah start nangis tetapi dengan gaya yang pelik. Seperti bukan dia. Gadis disebelah kiri saya pula setakat tu tak ada apa-apa berlaku. Tapi saya bantu juga sediakan plastik, takut nanti tiba-tiba muntah. Lepas tu saya nampak gadis tu mengalirkan air mata.
Apa yang menarik perhatian, lama kelamaan makcik yang menangis tu semakin kuat menangis. Tangannya pula seolah-olah menepis sesuatu. Saya tengok rakan saya tak ada apa-apa berlaku. Manakala wanita yang muntah tadi terus muntah, muntah dan muntah.

Kaki saya dah lenguh duduk. Sekejap berlutut. Sekejap bersila. Sekejap bersimpuh. Sekejap berdiri balik. Berbalik kepada cerita.... Makcik yang menangis tadi terus menangis. Bila saya tengok, dia nenangis semahu-mahunya tetapi dalam masa yang sama cuba menahan tangisan itu. Ustaz meneruskan bacaan dan makcik tadi seperti nak mengamuk.

Apabila anak murid ustaz menekan dahinya (dengan tangan beralas), makcik itu menjerit. Seram pun ada. Nak keluar, susah pula. Waktu tu saya tawakkal sahaja. Biar apa pun yang terjadi, saya terima segala ketentuan Allah S.W.T.
Tapi kaki saya betul-betul dah kesakitan. (Saya memang tak boleh duduk atas lantai lama-lama. Pandai sakit kaki). Dengan bilik yang saya rasa berbau pelik dan panas, saya pun paksa juga diri saya keluar.
Cam tak best juga duduk di luar. Nak masuk  balik... segan. Bila buka pintu, dalam tu makcik tu dah menjerit-jerit. Jadi saya tak jadi masuk. Siap menjerit 'mati! mati!'.

Tunggu punya tunggu, akhirnya selesai. Ustaz pun memberi tazkirah. Saya sempat bertanya dengan rakan sekerja saya yang ada sakit gastrik. Katanya badan ada rasa ringan sikit.

Begitulah pengalaman saya menghadiri terapi Ruqyah. Dengan izin Allah S.W.T... mudah-mudahan penyakit yang dialami pesakit semakin berkurang dan sembuh. :-)

Untuk mengetahui lebih lanjut apa itu terapi ruqyah... boleh klik ke link ini. Terapi Ruqyah

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Terima kasih!