Rabu, 27 Mei 2015

Sifat Benci itu Sia-Sia

Jauhilah sifat kebencian daripada bertapak di hati sanubari kita. Kebencian telah menimbulkan banyak kerosakan di muka bumi; kebencian sering mengancam keharmonian. Justeru, bagi mewujudkan keharmonian di dalam kampus, jauhilah sifat kebencian dan perbuatan-perbuatan yang mendorong kepada kebencian seperti mengadu domba, membuat fitnah, buruk sangka, melemparkan tohmahan-tohmahan yang tidak berasas dan umpat mengumpat. Jangan membazir masa kepada perkara-perkara negatif sedemikian. 

Percayalah bahawa orang yang ada sifat kebencian tidak akan bahagia dan tidak merasa kemanisan hidup. Jiwanya sentiasa tidak tenteram, hatinya sentiasa gundah gulana, fikirannya tidak fokus kepada perkerjaan, dan akhirnya kekusutan dalaman yang diciptanya sendiri terjemah pada wajah dan keperibadiannya. Sesungguhnya kita semua berasal dari moyang yang sama, yakni Adam dan Hawa. Justeru berkasih sayanglah kerana semua adalah insan yang sama, yang ada perasaan dan hati yang mudah tersentuh dan tersinggung. Jagalah hati saudara-saudara kita daripada kata-kata kesat dan caci mencaci. Jaga keharmonian, hormat menghormati, jangan membuang masa dengan berbual-bual yang mendorong ke arah itu.

- Dipetik dari teks ucapan Amanat Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah 2013 -


Daripada sering berasa benci, lebih baik tinggalkan perasaan itu jauh-jauh. Orang yang ada sifat sedemikian tidak akan tenteram hatinya. Sentiasa memikirkan kebencian yang lama-lama akan memakan diri sendiri. Apa yang dipandang, semuanya tak kena. Yang baik jadi buruk, yang cantik jadi hodoh dan yang ikhlas menjadi tidak ikhlas. Kerja tidak akan dapat dilaksanakan dengan baik memandangkan agenda utamanya hanyalah untuk meluahkan rasa benci, mengumpat dan menyebarkan fitnah.

Orang yang dibelenggu perasaan benci tidak dapat dibangunkan akalnya. Kerana benci itu membutakan hatinya. 

Cantiknya peribadi seseorang diukur melalui akhlak, personaliti dan amal ibadahnya. Bukan kecantikan duniawi semata-mata. Kata-kata kesat yang dilemparkan itu tiada faedahnya, dan hanyalah berbalik kepada diri sendiri. 

Renung-renungkanlah....

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Terima kasih!