Ahad, 11 Mei 2014

Kes Buang Bayi yang Berleluasa

Tadi pagi baca pasal satu lagi kes buang bayi. Pelajar tingkatan 4 buang bayi ke dalam tangki pam tandas. Terkedu baca berita ni.

Pada pendapat saya... ada beberapa faktor yang menyebabkan kes buang bayi terjadi.

1. Kurang kasih sayang keluarga. Peranan ibubapa penting dalam mendidik anak-anak dan tanggungjawab itu tidak boleh diserahkan 100% kepada guru atau tenaga pengajar. Selain itu, sentiasa perhatikan tingkah laku anak-anak agar mereka tidak terlalu bersosial tidak kena tempat. Walau sesibuk mana kita bekerja, waktu untuk keluarga juga diperlukan.

2. Media. Dunia sekarang begitu canggih. Terpulang sama ada teknologi digunakan untuk kebaikan atau perkara buruk. Elakkan diri dari melayari laman web berunsur negatif kerana ia hanya akan mengundang ketagihan. Selain itu, kes jenayah lain juga akan berlaku sekiranya perkara ini diambil mudah.

3. Pujuk rayu. Perempuan jangan cepat sangat cair dengan pujuk rayu sang lelaki yang tidak bertanggungjawab. Fikir apa akibatnya di kemudian hari. Jika seorang lelaki itu benar-benar mencintai anda, dia tidak akan berani berbuat sedemikian dan meninggalkan anda setelah terjadi perkara yang tidak diingini.

4. Kurang kesedaran. Kadang-kala individu tidak menyedari apa akan terjadi sekiranya perkara ini berlaku. Berfikir sebelum mengambil tindakan sewenang-wenangnya. Begitu juga segelintir masyarakat yang tidak ambil peduli tentang kes seperti ini. Bagi mereka, kes ini sudah biasa berlaku dan bukan lagi menjadi masalah besar. Maka, kes pembuangan bayi semakin berleluasa.

Walaupun begitu, masih ada ruang untuk memperbetulkan kesilapan yang dilakukan. Ya. Mungkin kerana panik, takut akan pengetahuan keluarga, tidak ingin dicemuh rakan-rakan dan takut akan tindakan disiplin sekiranya hal ini diketahui.... si ibu bertindak sedemikian.

Anak adalah anugerah Allah s.w.t. Sayangi mereka kerana mereka adalah darah daging kepada kedua ibubapa yang berkenaan. Jika terlanjur melakukan perkara yang tidak diingini, jangan sampai dibuang anak tersebut. Mereka inginkan dakapan dan kasih-sayang. Bukan dihurung semut atau dibiarkan kesejukan.Alangkah sedihnya... .. seorang anak kecil yang tidak mampu berbuat apa-apa ditinggalkan keseorangan begitu sahaja.

Marilah bertaubat kerana pintu taubat itu sentiasa terbuka untuk orang yang benar-benar ingin menyesali kesilapan yang dilakukan. Jangan mudah terpedaya dengan lelaki durjana yang tidak bertanggungjawab. Iman tetap di dalam hati. Cuma akal fikiran dan gerak hati diperlukan untuk menggerakkan keimanan bagi menghalang hal ini berlaku.

Jangan buang bayi...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Terima kasih!